Vietnam Dan Kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM)
Kemboja dan Vietnam yang mempunyai penduduk minoriti Muslim perlu diberi perhatian dan bantuan terutamanya dari sudut keperluan pendidikan. Ini adalah maklumat dan pengalaman yang dikongsi bersama oleh dua pegawai dari Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dan sebelas peserta Kursus Imam Kemboja dan Vietnam 1/2009 anjuran RISEAP dalam pertemuan di Jakim pada 15 Julai 2009 Masihi bersamaan 22 Rejab 1430 Hijrah.
Kursus yang melibatkan imam-imam dari kedua-dua buah negara ini merupakan inisiatif dan hasil usaha RISEAP dalam mengembangkan dakwah dan sumbangan dalam bentuk pendidikan di negara minoriti Islam ini. Pertemuan diadakan di Dewan Syura, Aras 9, Jakim dan dipengerusikan oleh Haji Awang Khalid bin Mat Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa. Turut hadir dalam perbincangan tersebut adalah wakil-wakil Bahagian Jakim.
Dalam pertemuan tersebut, anggota delegasi didedahkan dengan peranan dan fungsi Jakim secara menyeluruh menerusi persembahan video korporat Jakim versi bahasa Melayu. Semasa sesi dialog, kedua-dua pihak berkongsi maklumat dan pengalaman tentang pengurusan hal ehwal Islam di negara masing-masing. Selain itu, perbincangan dua hala mengenai isu semasa dunia Islam terutamanya berkaitan bantuan kepada umat Islam di negara minoriti penduduk yang beragama Islam turut mengambil tempat.
Di akhir majlis, kedua-dua pihak mengharapkan jalinan kerjasama yang lebih erat khususnya dalam hal ehwal agama Islam dapat dijana dan diteruskan pada masa hadapan.
0 ulasan:
Catat Ulasan